CERPEN : KATA KATA

TEMA : MANISNYA BERBUDI BAHASA

WATAK UTAMA : RIZQI

 

Rizqi mula terjaga dari tidurnya lantas tersedar bahawa dia telah lewat untuk ke sekolah. Dia terus bingkas bangun dari pembaringan dan  dengan tergesa-gesa menuju ke tandas untuk mandi lalu bersiap-siap. Setelah mengenakan pakaian seragam sekolahnya, Rizqi keluar dari bilik terus ke luar rumah sambil menyandang beg sekolah.                                                                                                                                                                                                                 

“Kalau ya pun, duduklah makan dulu Riz,” Dari dapur kedengaran teguran lembut ibunya Puan Salmiah ketika dia tergesa-desa menyarung kasut sekolah hitamnya.

        ‘Ah! tak sempatlah ibu, Riz dah lambat ni,’ getus Rizqi.

Puan Salmiah hanya mampu tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala melihat anaknya yang kalut memakai kasut. Tanpa berkata apa, Puan Salmiah terus menyambung kerja membasuh pinggan mangkuknya di dapur.

    Rizqi terus bergerak mengayuh basikalnya dan sempat meneriak dari luar rumah ke arah ibunya “ Ibu,  Riz pergi sekolah dulu ya!” berharap ibunya dengar.

    Dalam perjalanan ke sekolah, Rizqi mengayuh basikalnya dengan laju kerana dia benar-benar sudah terlewat. Jarak antara rumah Rizqi dengan sekolahnya tidaklah jauh sangat, dalam anggaran 2 kilometer sahaja. 

‘Aku kena cepat ni, matilah aku kalau lambat sampai sekolah, mesti kena rotan dengan Cikgu Faizal.’ gumamnya dalam hati. Bukan sekali, bukan dua kali, tapi sudah banyak kali dia lewat ke sekolah.

    Sesampainya dia di hadapan pintu pagar sekolah, Rizqi sempat melihat jam tangannya yang menunjukkan sudah pukul 7.45 pagi. Dia masuk ke perkarangan sekolah lalu menuntun basikalnya ke tempat letak basikal. Dia terus bergerak menuju ke kelas. Semua murid telah masuk ke dalam kelas masing-masing dan keadaan kelas agak sunyi sepi.

    Dia perasan cikgu Matematiknya, Cikgu Faizal sudah mula mengajar di dalam kelas. Rizqi berniat ingin terus masuk menggunakan pintu belakang kelas agar cikgunya itu tidak perasan akan kelewatannya ke sekolah. Rizqi terus menjengket masuk lagak perompak yang ingin merompak. Kawan-kawan lain tidak perasan akan kehadirannya kerana menumpukan perhatian ke papan putih.

 

 

   “Muhammad Rizqi bin Zulkarnain!”, Seperti guruh yang tiba-tiba menggegar, kedengaran jeritan Cikgu Faizal kepada Rizqi. Rizqi yang cuba masuk  tersentak. Pelajar lain turut terkejut dengan pekikan Cikgu Faizal itu.

 ‘Aduh, habislah aku macam mana boleh kantoi ni,’ keluh Rizqi.

   “Sini kamu’’, kata Cikgu Faizal dengan nada keras. Tanpa membantah, dia terus ke hadapan kelas dengan perasaan malu dipandang oleh kawan-kawannya yang lain.“Kamu tahu kan kamu lambat? Kamu dahlah lambat, lepastu tiada adab pula  sampai masuk kelas ikut pintu belakang. Kamu nak jadi apa? Setiap hari datang lambat,” bebel cikgunya.

    “Jadi oranglah cikgu, takkan jadi haiwan pula,”balas Rizqi bersahaja.

    “Kamu jangan kurang ajar! Saya ni cikgu awak tau. Tolong jaga kata-kata awak,” kata Cikgu Faizal. “Pergi berdiri di luar kelas sekarang. Saya tak suka ajar murid berperangai macam ni.” kata cikgunya itu dengan tegas.

    Semua murid diam tanpa berkata apa-apa. Rizqi dengan muka tidak bersalah meluru keluar dari kelas sambil menjeling ke arah cikgunya tanda tidak puas hati. Rizqi bukan hanya berdiri di koridor kelasnya itu, malah dia lebih bertindak berani berlari ke tempat lain. Cikgu Faizal perasan akan perbuatan anak muridnya itu. Dia sungguh kecewa dengan sikap Rizqi yang tiada tutur kata yang baik.

‘Riz...Riz apalah nak jadi  dengan kamu ni?’ keluh Cikgu Faizal dalam hati.

     Rizqi berlari masuk ke tandas kerana risau cikgunya itu sedang mengejarnya.

‘Ah! bosanlah lah Cikgu Faizal ni, bukan seronok  pun belajar dengan dia,’ getus Rizqi dalam hati. Rizqi sedang berfikir ke mana harus dia pergi selepas ini. Tiba-tiba “BOOM!!” bunyi yang kuat dari arah pintu tandas. Rizqi tersentak sehingga hampir gugur jantungnya apabila sekumpulan pelajar seniornya menendang pintu tandas dengan kuat hingga terbuka pintu tandas itu.

    Amri, Bakri dan Chong kumpulan senior yang nakal di sekolahnya. “Oi budak kau buat apa ha kat sini!” jerkah Amri yang dikenali sebagai ketua bagi kumpulan itu.

    “Suka hati akulah nak duduk dalam tandas ni. Ni bukan tandas mak bapak korang pun,” Rizqi membalas sinis.

     “Perh, berani menjawablah budak ni,” kata Amri yang rasa tercabar.

    “Woi Am budak ni lah yang aku nampak tadi dia kurang ajar dengan Cikgu Faizal!” jerit Bakri kepada Amri. Bakri perasan semasa lalu di hadapan kelas Rizqi yang juniornya ini bercakap kurang ajar dengan Cikgu Faizal.

   “Kita kasi belasah budak ni Am, dia ni baru tingkatan 3 sudah berlagak dengan kita,” tambah Chong.

   “Korang ingat aku takut ke dengan korang ha? Suka hati akulah nak kurang ajar dengan siapa,” balas Rizqi dengan nada berlagak.

    “BUKK!” satu tumbukan tepat kena pada muka Rizqi. Amri berasa puas melepaskan tumbukan ke  arah Rizqi.

    Rizqi menjerit kesakitan. Kelihatan cecair merah mengalir dari hidungnya. Dia berasa dunia ini gelap tidak nampak apa-apa selepas terkena tumbukan Amri. Rizqi terkapai-kapai dengan mata yang tertutup ingin mencari dinding untuk berpaut. Tanpa sedar dia tersalah langkah terpijak lantai yang licin. Dia terlentang dengan kepalanya terhentak ke lantai. Lalu semuanya menjadi samar-samar, melihat kelibat Amri dengan kawannya berlari ketakutan. Betullah orang kata disebabkan mulut badan binasa. Rizqi tidak dapat menahan sakit dikepalanya lalu pengsan.

    “Tok, tok, tok” bunyi ketukan pintu wad menyedarkan Rizqi dari mengimbau kejadian semalam.

“Masuklah,” kata Rizqi pendek. Seseorang sedang membuka pintu biliknya.Kelihatan sosok tubuh yang sangat dikenali Rizqi. Rizqi terus turun dari katil wad terus menerkam memeluk tubuh orang itu. “Cikgu, saya minta maaf cikgu. Saya menyesal sebab bersikap kurang ajar. Saya minta maaf cikgu. Saya insaf,” rayu Rizqi sambil menangis memeluk Cikgu Faizal.

    “Rizqi, tidak mengapa. Cikgu tak pernah benci anak-anak murid cikgu. Cikgu dah maafkan kesilapan kamu itu. Sudah jangan nangis.” kata Cikgu Faizal. Memang betul, dia tidak pernah benci dengan anak muridnya itu walaupun anak muridnya itu sangat nakal. Dia hanya seorang guru yang cuba mendidik anak muridnya ke arah yang lebih baik.

    “Terima kasih, cikgu. Lepas ni saya berjanji akan sentiasa jaga percakapan saya dengan orang lain. Saya menyesal.” kata Rizqi sambil mengesat air matanya. Dia juga berterima kasih kepada cikgunya itu kerana telah membawanya ke hospital. Rizqi mendapat tahu Cikgu Faizal berlari ke arah tandas apabila seseorang memberitahu yang dia telah pengsan dengan berlumuran darah dikepalanya. Cikgu Faizal memberitahunya juga tentang Amri dengan kawannya telah diambil tindakan dan akan dibuang sekolah. Selepas keluar dari wad hospital nanti, dia berniat mahu berjumpa dengan seniornya itu dan ingin meminta maaf atas kesilapannya serta dia akan berubah menjadi murid yang hormat dan berbudi bahasa dengan orang lain.

   

   

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

KASIH YANG DIPILIH