CERPEN : KATA KATA
TEMA : MANISNYA BERBUDI BAHASA
WATAK UTAMA : RIZQI
Rizqi
mula terjaga dari tidurnya lantas tersedar bahawa dia telah lewat untuk ke
sekolah. Dia terus bingkas bangun dari pembaringan dan dengan tergesa-gesa menuju ke tandas untuk
mandi lalu bersiap-siap. Setelah mengenakan pakaian seragam sekolahnya, Rizqi keluar
dari bilik terus ke luar rumah sambil menyandang beg sekolah.
“Kalau ya pun, duduklah
makan dulu Riz,” Dari dapur kedengaran teguran lembut ibunya Puan Salmiah
ketika dia tergesa-desa menyarung kasut sekolah hitamnya.
‘Ah!
tak sempatlah ibu, Riz dah lambat ni,’ getus Rizqi.
Puan Salmiah hanya mampu
tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala melihat anaknya yang kalut memakai
kasut. Tanpa berkata apa, Puan Salmiah terus menyambung kerja membasuh pinggan
mangkuknya di dapur.
Rizqi terus bergerak mengayuh basikalnya
dan sempat meneriak dari luar rumah ke arah ibunya “ Ibu, Riz pergi sekolah dulu ya!” berharap ibunya
dengar.
Dalam perjalanan ke sekolah, Rizqi mengayuh
basikalnya dengan laju kerana dia benar-benar sudah terlewat. Jarak antara
rumah Rizqi dengan sekolahnya tidaklah jauh sangat, dalam anggaran 2 kilometer
sahaja.
‘Aku kena cepat ni,
matilah aku kalau lambat sampai sekolah, mesti kena rotan dengan Cikgu Faizal.’
gumamnya dalam hati. Bukan sekali, bukan dua kali, tapi sudah banyak kali dia
lewat ke sekolah.
Sesampainya dia di hadapan pintu pagar
sekolah, Rizqi sempat melihat jam tangannya yang menunjukkan sudah pukul 7.45
pagi. Dia masuk ke perkarangan sekolah lalu menuntun basikalnya ke tempat letak
basikal. Dia terus bergerak menuju ke kelas. Semua murid telah masuk ke dalam
kelas masing-masing dan keadaan kelas agak sunyi sepi.
Dia perasan cikgu Matematiknya, Cikgu
Faizal sudah mula mengajar di dalam kelas. Rizqi berniat ingin terus masuk
menggunakan pintu belakang kelas agar cikgunya itu tidak perasan akan
kelewatannya ke sekolah. Rizqi terus menjengket masuk lagak perompak yang ingin
merompak. Kawan-kawan lain tidak perasan akan kehadirannya kerana menumpukan
perhatian ke papan putih.
“Muhammad Rizqi bin Zulkarnain!”, Seperti
guruh yang tiba-tiba menggegar, kedengaran jeritan Cikgu Faizal kepada Rizqi.
Rizqi yang cuba masuk tersentak. Pelajar
lain turut terkejut dengan pekikan Cikgu Faizal itu.
‘Aduh, habislah aku macam mana boleh kantoi ni,’
keluh Rizqi.
“Sini kamu’’, kata Cikgu Faizal dengan nada
keras. Tanpa membantah, dia terus ke hadapan kelas dengan perasaan malu
dipandang oleh kawan-kawannya yang lain.“Kamu tahu kan kamu lambat? Kamu dahlah
lambat, lepastu tiada adab pula sampai
masuk kelas ikut pintu belakang. Kamu nak jadi apa? Setiap hari datang lambat,”
bebel cikgunya.
“Jadi oranglah cikgu, takkan jadi haiwan
pula,”balas Rizqi bersahaja.
“Kamu jangan kurang ajar! Saya ni cikgu
awak tau. Tolong jaga kata-kata awak,” kata Cikgu Faizal. “Pergi berdiri di
luar kelas sekarang. Saya tak suka ajar murid berperangai macam ni.” kata
cikgunya itu dengan tegas.
Semua murid diam tanpa berkata apa-apa.
Rizqi dengan muka tidak bersalah meluru keluar dari kelas sambil menjeling ke
arah cikgunya tanda tidak puas hati. Rizqi bukan hanya berdiri di koridor
kelasnya itu, malah dia lebih bertindak berani berlari ke tempat lain. Cikgu
Faizal perasan akan perbuatan anak muridnya itu. Dia sungguh kecewa dengan
sikap Rizqi yang tiada tutur kata yang baik.
‘Riz...Riz apalah nak
jadi dengan kamu ni?’ keluh Cikgu Faizal
dalam hati.
Rizqi berlari masuk ke tandas kerana risau
cikgunya itu sedang mengejarnya.
‘Ah! bosanlah lah Cikgu
Faizal ni, bukan seronok pun belajar
dengan dia,’ getus Rizqi dalam hati. Rizqi sedang berfikir ke mana harus dia
pergi selepas ini. Tiba-tiba “BOOM!!” bunyi yang kuat dari arah pintu tandas. Rizqi
tersentak sehingga hampir gugur jantungnya apabila sekumpulan pelajar seniornya
menendang pintu tandas dengan kuat hingga terbuka pintu tandas itu.
Amri, Bakri dan Chong kumpulan senior yang
nakal di sekolahnya. “Oi budak kau buat apa ha kat sini!” jerkah Amri yang
dikenali sebagai ketua bagi kumpulan itu.
“Suka hati akulah nak duduk dalam tandas
ni. Ni bukan tandas mak bapak korang pun,” Rizqi membalas sinis.
“Perh, berani menjawablah budak ni,” kata
Amri yang rasa tercabar.
“Woi Am budak ni lah yang aku nampak tadi
dia kurang ajar dengan Cikgu Faizal!” jerit Bakri kepada Amri. Bakri perasan
semasa lalu di hadapan kelas Rizqi yang juniornya ini bercakap kurang ajar
dengan Cikgu Faizal.
“Kita kasi belasah budak ni Am, dia ni baru
tingkatan 3 sudah berlagak dengan kita,” tambah Chong.
“Korang ingat aku takut ke dengan korang ha?
Suka hati akulah nak kurang ajar dengan siapa,” balas Rizqi dengan nada berlagak.
“BUKK!” satu tumbukan tepat kena pada muka
Rizqi. Amri berasa puas melepaskan tumbukan ke
arah Rizqi.
Rizqi menjerit kesakitan. Kelihatan cecair
merah mengalir dari hidungnya. Dia berasa dunia ini gelap tidak nampak apa-apa
selepas terkena tumbukan Amri. Rizqi terkapai-kapai dengan mata yang tertutup
ingin mencari dinding untuk berpaut. Tanpa sedar dia tersalah langkah terpijak
lantai yang licin. Dia terlentang dengan kepalanya terhentak ke lantai. Lalu
semuanya menjadi samar-samar, melihat kelibat Amri dengan kawannya berlari
ketakutan. Betullah orang kata disebabkan mulut badan binasa. Rizqi tidak dapat
menahan sakit dikepalanya lalu pengsan.
“Tok, tok, tok” bunyi ketukan pintu wad
menyedarkan Rizqi dari mengimbau kejadian semalam.
“Masuklah,” kata Rizqi
pendek. Seseorang sedang membuka pintu biliknya.Kelihatan sosok tubuh yang
sangat dikenali Rizqi. Rizqi terus turun dari katil wad terus menerkam memeluk
tubuh orang itu. “Cikgu, saya minta maaf cikgu. Saya menyesal sebab bersikap
kurang ajar. Saya minta maaf cikgu. Saya insaf,” rayu Rizqi sambil menangis
memeluk Cikgu Faizal.
“Rizqi, tidak mengapa. Cikgu tak pernah
benci anak-anak murid cikgu. Cikgu dah maafkan kesilapan kamu itu. Sudah jangan
nangis.” kata Cikgu Faizal. Memang betul, dia tidak pernah benci dengan anak
muridnya itu walaupun anak muridnya itu sangat nakal. Dia hanya seorang guru
yang cuba mendidik anak muridnya ke arah yang lebih baik.
“Terima kasih, cikgu. Lepas ni saya
berjanji akan sentiasa jaga percakapan saya dengan orang lain. Saya menyesal.”
kata Rizqi sambil mengesat air matanya. Dia juga berterima kasih kepada
cikgunya itu kerana telah membawanya ke hospital. Rizqi mendapat tahu Cikgu
Faizal berlari ke arah tandas apabila seseorang memberitahu yang dia telah
pengsan dengan berlumuran darah dikepalanya. Cikgu Faizal memberitahunya juga
tentang Amri dengan kawannya telah diambil tindakan dan akan dibuang sekolah.
Selepas keluar dari wad hospital nanti, dia berniat mahu berjumpa dengan
seniornya itu dan ingin meminta maaf atas kesilapannya serta dia akan berubah
menjadi murid yang hormat dan berbudi bahasa dengan orang lain.
TERBAIK...
ReplyDelete😍
Delete